Ingat lagi pemuda ini, mangsa tsunami Acheh 2004?
Masih ingat lagi dengan pemuda ini, mangsa tsunami Acheh 2004 yang telah hanyut di lautan Hindi selama 9 hari? Itulah Rizal Sahputra Abdul Hamid, individu yang terselamat selepas hanyut 100 batu nautika dari Banda Aceh.
Agak-agak apakah yang dia buat sekarang? Rupanya kini, dia sedang dalam pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan pengurusan perniagaan di UCSI, kampus Trengganu. Sebelum ini dia telah memperoleh sarjana pada 2016 dalam jurusan pentadbiran perniagaan. Sungguh tak disangka dia kini telah berjaya dalam hidupnya walaupun kesemua ahli keluarga dan rakan-rakan sekampung telah maut akibat bencana tsunami tersebut.
Beliau yang kini menetap di negara ini
sedang mengharapkan pertolongan masyarakat tempatan dan antarabangsa bagi
mengesan bekas kapten kapal kargo dari Jepun MV Durban Bridge dan
seorang kelasi, yang dianggapnya bagaikan ‘penyambung nyawa’. Ini kerana kedua-dua insan tersebut telah bertungkus-lumus
menjaganya sepanjang lima hari di atas kapal tersebut sebelum dibawa ke
Pelabuhan Klang, Selangor untuk rawatan lanjut. Menyedari
pencariannya agak sukar kerana tidak mempunyai sebarang maklumat tepat
terhadap dua individu terbabit, Rizal Sahputra berkata, dua keping
gambar yang disiar di media tempatan adalah petunjuk pencarian itu
setakat ini.
Ketika ditemu bual Bernama
baru-baru ini, beliau berkata apabila tiba di atas kapal kargo
tersebut, kelasi itulah yang memandikan dan menyuapnya makan setiap hari
malah sanggup mengangkatnya ke bilik air kerana kaki tercedera dan
kedua-dua belah tangannya juga patah. “Dalam
keadaan berkomunikasi bagaikan ‘ayam dengan itik’ itu jugalah saya
difahamkan kapten kapal itu adalah orang yang pertama terlihat saya
terapung-apung di lautan dan beliau bersungguh-sungguh meminta
pasukannya bersedia untuk menyelamatkan saya." katanaya.
“Bayangkan
dalam banyak kapal yang melintasi saya sejak hari keempat hingga
kesembilan itu, hanya kapal MV Durban Bridge sahaja yang akhirnya
terlihat kelibat saya, ia bagaikan aturan Tuhan yang sangat unik,”
katanya lagi yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO)
Universiti UCSI, Kampus Terengganu. Rizal
Sahputra berkata, kapal yang dalam perjalanan ke Malaysia dan Singapura
dari Afrika Selatan itu menghampirinya dalam tempoh masa antara waktu
asar ke maghrib (selepas mereka terlihat Rizal Sahputra dari jauh) dan
hanya bergerak perlahan bagi mengelak air laut bergelombang, yang
mungkin akan menyebabkan dirinya hanyut.
Kesungguhannya
mencari dua lelaki terbabit bukanlah baru bermula sebaliknya telah
menjejak mereka sejak beberapa tahun lalu terutama selepas trauma akibat
bencana yang meragut nyawa kira-kira 250,000 orang di 14 negara itu,
mulai hilang daripada fikirannya. Beliau
telah ke Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur pada 2008 dan 2009 namun tidak
mendapat sebarang maklumat kerana tiada rekod lengkap, pernah juga ke
Pelabuhan Klang pada 2006 dan 2009 apabila mengetahui MV Durban Bridge
akan berlabuh di situ.
“Malangnya
kapten kapal yang baharu menyatakan mereka tidak mempunyai rekod
pekerja lama dan kesemua kelasi juga telah bertukar,” katanya yang
berhasrat melengkapkan perjalanan hidupnya dengan peluang bertemu serta
membalas budi mereka berdua.Menurut
Rizal Sahputra, apabila tiba di negara ini, kapten dan anak kapal
terbabit dibenarkan berada di pelabuhan dalam beberapa minit sahaja
kerana tertakluk pada undang-undang dan mereka hanya sempat berpelukan
serta saling mengucapkan terima kasih dalam bahasa masing-masing.
Sepanjang
perkenalan, anak kapal tersebut telah meminta izinnya untuk menyimpan
baju serta seluar yang dipakainya ketika ditemui itu sebagai
kenang-kenangan manakala dirinya diberi pakaian baharu.
Menceritakan
semula pengalaman berdepan dengan tsunami pada 26 Disember 2004, yang
bermula dengan gegaran kuat sebelum ombak besar menerjah darat, beliau
berkata dua hari pertama adalah saat bergelut dengan nyawa manakala
bermula hari ketiga paling meruntun jiwa, apabila melihat ribuan mayat
manusia telah mula timbul di permukaan air.
Rizal
Sahputra berkata, seluruh anggota keluarganya telah meninggal dunia
kecuali seorang abang, Ronal Sahputra, 36, manakala penduduk di
kampungnya, Calang, dekat Banda Aceh yang berjumlah 17,000 orang ketika
itu, hanya 17 orang sahaja yang terselamat.“Apabila
pulang, saya tidak lagi mengenali tempat itu. Saya pernah dibawa oleh
kru televisyen antarabangsa kira-kira Mei 2005 tetapi pulang semula ke
Malaysia kerana gagal menahan perasaan dan masih trauma,” katanya yang
kini telah berkahwin dengan seorang wanita dari Aceh dan mempunyai
seorang anak.
Kini,
kawasan penempatan peninggalan keluarganya telah didirikan sebuah rumah
tetapi dijadikan penginapan percuma kepada mereka yang kurang
berkemampuan serta kebun kelapa diurus oleh penduduk setempat serta
hasilnya akan disedekahkan.Sepanjang
dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bekas Timbalan Duta
Indonesia ke Malaysia, Abdurrahman Mohammad Fachir menjadi keluarga
angkatnya dan telah memberi galakan supaya menyambung pelajaran hingga
berjaya memperoleh ijazah pada 2011 dalam jurusan Bahasa Inggeris dan
Komunikasi.
“Pada
awal 2012 saya balik ke Aceh untuk menjaga sepupu yang menghidap
kanser. Di sana saya lakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual ikan.
Dalam tempoh itu saya sempat juga bekerja sebagai pegawai kerajaan Aceh
tetapi sebulan sahaja.“Pada
Mei 2012, setelah sepupu sihat, saya ke Jakarta untuk bekerja di
cawangan UCSI dan bermula Januari 2013 saya kembali ke Malaysia kerana
menyedari diri saya lebih sesuai di sini,” katanya yang kini fasih
berbahasa Malaysia dan Inggeris.
sumber: Bernama
No comments