Breaking News

Jom saksikan gerhana bulan penuh paling lama pada abad ke-21




Jom saksikan Gerhana Bulan Penuh paling lama pada abad ini! Ia dijangkakan akan berlaku pada 28 Julai ini. Ia dikhabarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Samsuddin Omar .
Fenomena gerhana bulan penuh itu adalah yang kedua berlaku tahun ini dan akan kelihatan di Australia, Asia (termasuk Malaysia), Afrika, Eropah serta Amerika Selatan.

Menurut beliau, fenomena ini akan bermula dari jam 1.14 pagi dan berakhir pada jam 7.28 pagi. Fasa gerhana bulan penuh akan berlangsung selama 1 jam 42 minit 57 saat dan tempoh ini menjadikannya paling lama bagi abad ke-21 (2001 hingga 2100).Tempoh paling lama bagi gerhana bulan penuh boleh berlaku adalah selama 1 jam 47 minit.

Fenomena gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi serta bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan akan merentasi bayang umbra bumi.
Dalam proses berlakunya gerhana, bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan dan kembali ke warna asalnya dalam tempoh lima jam.

Warna kemerahan yang akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 28 Julai 2018 berbeza dari gerhana bulan penuh lain, bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.

Tambah beliau, gerhana bulan pada 28 Julai ini boleh dilihat dari mana-mana kawasan bergantung kepada keadaan cuaca setempat. Namun katanya, tidak semua tempat di Malaysia dapat melihat keseluruhan fasa gerhana itu kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa tertentu berakhir.
Di Malaysia, fasa penumbra bermula pada jam 1.14 pagi diikuti separa bermula (2.24 pagi); penuh bermula (3.30 pagi); maksimum (4.21 pagi); penuh berakhir (5.13 pagi); separa berakhir (6.19 pagi) dan penumbra berakhir (7.28 pagi).

Secara amnya, penduduk di Malaysia akan dapat melihat hampir keseluruhan fasa gerhana sejak dari mula berlakunya fenomena ini sehinggalah bulan terbenam (bergantung kepada lokasi di mana berada).Ini bermakna lokasi pencerapan yang paling baik adalah di lokasi yang berada paling Barat.

Antara lokasi terpilih untuk penampakan gerhana adalah Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Kuala Lumpur, Alor Star dan Langkawi.

Samsuddin berkata, beberapa aktiviti turut dijalankan di Observatori Negara Langkawi sempena fenomena berkenaan bermula jam 10 malam (27 Julai) hingga 6.30 pagi esoknya.Antara aktiviti yang dijalankan adalah pencerapan planet Musytari, Zuhal dan Marikh; taklimat gerhana bulan dan pencerapan awam gerhana bulan penuh.

No comments