Anak Melayu pertama jaga Penjara Banda Hilir
Nur
Shahid Mohd Nor
TARIKH 1 Ogos 1960, genap 100 tahun usia Penjara Banda Hilir Melaka. Pada tarikh keramat itu juga, anak Melayu pertama mengambil alih pentadbiran sebagai Pegawai Penjaga Penjara daripada pegawai British terakhir yang dikenali sebagai Mr Gordan.
Nur
Shahid Mohd Nor, yang ketika itu baru berusia 27 tahun dipilih memegang
tanggungjawab besar menjaga Penjara Banda Hilir berdasarkan prestasi
cemerlang sepanjang latihan sejak beliau mula mendaftarkan diri pada
tahun 1957 dan tamat beberapa siri latihan di Taiping dan Pulau Pinang.
Sebaik
saja tamat latihan terakhir untuk pegawai kadet, beliau dipilih selaku
kadet pelatih terbaik di Pusat Latihan Pegawai Penjara di Pulau Pinang
dan terus ditawarkan jawatan itu.
Perbarisan tamat latihan pegawai kadet penjara
Menyingkap detik bersejarah itu, Nur
Shahid, 81, mengakui beliau menerima tugasan itu dengan hati terbuka dan
berjanji akan mencuba sebaik mungkin walaupun pengalamannya cukup
cetek.
"Pesuruhjaya
Penjara ketika itu, Tan Sri Murad Ahmad memanggil saya dan menawarkan
jawatan Timbalan Komandan di Pusat Latihan Taiping, tetapi saya berterus
terang mengatakan saya lebih suka bertugas di dalam penjara.
"Di
sana, saya akan timba banyak pengalaman menguruskan banduan.
Difahamkan, beliau menawarkan jawatan itu kepada rakan saya sebelum
memanggil saya masuk kali kedua. Ketika itulah saya ditawarkan jawatan
Pegawai Penjaga Penjara dan saya memang terkejut," katanya.
Era pegawai kadet yang seangkatan dengan
Nur Shahid dianggap sebagai bertuah kerana ketika itu adalah zaman
peralihan pentadbiran British kepada kerajaan persekutuan selepas Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan. Semua jawatan penting yang disandang
pegawai British diserah kepada pegawai tempatan secara berperingkat,
termasuklah di jabatan penjara.
"Jika
mengikut minat, saya lebih fokus kepada pegawai polis tetapi selepas
beberapa kali mencuba, saya gagal dan dinasihatkan supaya mencuba di
jabatan penjara. Rezeki saya baik apabila diterima dan mula mendaftar
untuk latihan seminggu sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
"Itu
detik bersejarah dalam hidup saya. Lebih manis, saya menerima tugas di
Banda Hilir pada tarikh genap 100 tahun penjara itu dibina," katanya
yang pernah menjalani kursus lanjutan khas untuk pegawai penjara
peringkat Asia kendalian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) selama
hampir setahun di penjara terbesar Jepun iaitu Penjara Fuchu di Tokyo.
Nur Shahid yang sudah bersara sejak 27
tahun kini boleh berbangga kerana tempat pertama beliau bertugas itu
masih kekal berdiri hingga ke hari ini. Ruang pejabat, sel dan kediaman
kakitangan di situ diabadikan sebagai Muzium Penjara Malaysia Melaka.
Gambar lama Penjara Banda Hilir Melaka
Bahkan,
banyak gambar peribadinya dipamerkan di muzium itu untuk tontonan
pengunjung dan rujukan generasi muda selepas muzium itu dirasmikan oleh
Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Banda Hilir, pada tahun
lalu.
No comments