Penjara paling mewah di dunia
Penjara Halden di Norway adalah sebuah penjara yang berbeza. Penjara yang dibina dengan kos 1.5 billion kroner (RM82 juta) itu disifatkan sebagai bukan sekadar penjara paling mewah malah paling berperikemanusiaan di dunia.
Hukuman
maksimum di Norway termasuk bagi kesalahan membunuh adalah penjara 21
tahun. Semua tahanan akan kembali menjalani kehidupan normal bersama
masyarakat selepas hukuman.
Penjara
itu seboleh mungkin mahu menyamakan suasananya dengan kehidupan di luar,
sebagai persediaan kepada banduan sebelum mereka bebas.
Penjara itu dibuka pada 2010 dan memiliki
kawalan keselamatan paling ketat untuk menempatkan mereka yang
melakukan kesalahan berat termasuk membunuh, merogol sehingga kepada
pesalah pedofilia.
Menariknya, setiap
tingkap selnya langsung tidak mempunyai jeriji besi sebagaimana yang
digambarkan dalam kebanyakan penjara di mana-mana negara sekali pun.
Ia seolah-olah seperti berada dalam sebuah unit pangsapuri, banduan
ditempatkan di dalam bilik yang mempunyai aliran udara, lengkap dengan
bilik mandi berlantaikan seramik.
Televisyen berskrin rata juga disediakan bersama kemudahan peti ais mini untuk kegunaan banduan.
Setiap banduan dalam 10 hingga 12 sel
akan berkongsi sebuah dapur dan ruang tamu di mana mereka boleh
menyediakan sendiri makan malam mereka sambil berehat selepas seharian
bekerja.
Banduan juga diberikan kemudahan pendidikan dan riadah untuk memastikan mereka sentiasa sibuk dan gembira.
Penjara Halden adalah penjara kedua terbesar di Norway, kini
menempatkan 248 hingga 252 banduan, namun separuh daripada pengawalnya
adalah wanita.
Ini kerana kerajaan
percaya bahawa golongan terbabit mampu mengurangkan tekanan dan
menggalakkan kelakuan baik di kalangan tahanan.
Malah kakitangan di situ langsung tidak merasa terancam untuk bersama tahanan bermain ping-pong, kad permainan dan backgammon.
"Jika berasa terancam saya tahu ada 30 pengawal yang akan datang dalam
masa seminit untuk membantu saya. Malah semua banduan di sini
mengetahuinya," kata pengawal penjara, Tina Bratas.
Banduan di Halden turut dibenarkan menggunakan internet tetapi dalam
tempoh terhad. Mereka hanya dibenarkan membuat panggilan keluar untuk
sekurang-kurangnya 20 minit seminggu. Surat akan dibuka dan dibacakan
sebelum diserahkan.
No comments