Breaking News

Badang Kinabalu meninggal dunia pada usia 68 tahun



Sabah kehilangan seorang wira tak didendang apabila Abbie Intang yang digelar Badang Kinabalu meninggal dunia jam 4.39 pagi, 27 Disember 2025 pada usia 68 tahun.

Mengikut beberapa hantaran di media sosial hari ini, Abbie bukan orang politik atau selebriti, namun jasanya terpahat dalam sejarah Gunung Kinabalu sebagai porter paling lama berkhidmat.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Pinosuk, Kundasang pernah menjadi tulang belakang operasi pendakian gunung tertinggi di rantau ini.

Abbie mula menjadi sebutan serta dikenali ramai selepas gambar mengangkat tangki air biru seberat 50 kilogram untuk dihantar ke Laban Rata pada 2005 tular.

Ketika itu, Abbie berusia 48 tahun turut mendapat gelaran M Nasir Kinabalu di kalangan rakan porter gunung itu kerana wajahnya mirip komposer terkenal, Datuk M Nasir.

Sepanjang perkhidmatannya, setiap hari Abbie mendaki dari Timpohon Gate ke Laban Rata sejauh kira-kira enam kilometer dengan mengambil masa hampir enam jam sambil memikul tong air 600 liter seberat 33 kilogram.

Tidak terhenti setakat itu, pada hari sama Allahyarham kembali mendaki membawa dua tong gas seberat 64 kilogram melalui laluan sama.

Beban paling berat pernah dipikulnya ialah bateri kereta seberat 80 kilogram.

Kerana kekuatan luar biasa serta ketabahannya, Abbie digelar Badang Kinabalu, simbol keringat, pengorbanan dan kecekalan anak Sabah.

Hari ini, beliau pergi selama-lamanya, jasanya akan terus hidup dalam setiap langkah pendaki pernah menikmati air, makanan dan keselamatan di puncak Gunung Kinabalu.


No comments