Breaking News

Lebuh raya 'berhantu' dibina zaman Nazi ditemui di hutan Jerman

WURZBURG, Jerman: Di tengah-tengah hutan tebal Bavarian, sejarawan amatur, Dieter Stockmann menunjukkan tinggalan lebuh raya ‘berhantu’ era Nazi yang terbiar.
Tinggalan Route 46 memang sudahpun diketahui sebelum ini tetapi kawasan itu pernah dianggap pantang larang menurut Stockmann yang mengkaji projek berkenaan selama 20 tahun.
 

Namun, tapak itu menarik perhatian pengunjung dan pihak berkuasa tempatan yang mula menjadikannya destinasi tarikan pelancongan, selain cara untuk membalas propaganda Nazi.
Datuk Bandar Gemuenden am Main, mula menyusun berdozen sesi pelancongan berpandu setiap tahun di kawasan yang membabitkan wilayahnya.
“Ketika sesi itu, kami menjelaskan pembohongan yang hingga kini masih dianggap benar. Sebagai contoh, lebuh raya ini sebenarnya tidak dibina oleh Hitler,” katanya seperti dipetik 

Stockmann mengendalikan pelancongan berpandu secara percuma untuk pengembara berjalan kaki yang sanggup merentasi belukar berduri untuk menyaksikan tinggalan apa yang pernah menjadi lebuh raya terpanjang di Jerman.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak pernah terserempak dengan peminat Third Reich.
Pengunjung peminat kenderaan di Jerman lebih berminat terhadap cabaran teknikal dalam membina lebuh raya pada zaman itu berbanding kaitannya dengan Nazi, kata Stockmann.
 



Bermula pada 1936, Route 46 bertujuan untuk menunjukkan keindahan Jerman - menghubungkan runtuhan istana terkenal dengan bandar bersejarah Wurzburg dan Fulda.
Lebuh raya sepanjang 40 kilometer itu sebahagian daripada projek mega yang dirancang pada zaman Republik Weimar untuk menghubungkan Hamburg di utara Jerman dengan Lake Constance di selatan.
Seramai 4,500 pekerja menyiapkannya dengan membuka laluan merentasi hutan dan membina jambatan serta sistem saliran.

Namun, sebelum asfalt dapat diturap, projek itu dihentikan pada 1939 kerana dianggap tidak memiliki kepentingan strategik oleh tentera Jerman.
Pekerja meninggalkan struktur separuh siap yang kemudian diselimuti tumbuhan.


 
“Adakalanya kita terpaksa menggunakan imaginasi untuk melihat apa yang dibina pada masa itu,” kata Stockmann, 60.
Di tengah pandang rumput, beliau menunjukkan tiang konkrit besar yang dibina untuk menampung jambatan.
Ia kini diubah menjadi tembok memanjat.
Sejak memulakan penyelidikannya, Stockmann menyelongkar seluruh wilayah dan arkib kebangsaan, menemui kira-kira 50 saksi yang hidup pada zaman itu dan menerbitkan buku.

Hari ini, kawasan itu jauh daripada mana-mana jalan utama dan kesunyian hanya dipecahkan oleh suara unggas.
Amat sukar untuk menggambarkan bagaimana ia pernah menjadi laluan yang sibuk.

“Di sana ada, mata air yang bertujuan untuk menyejukkan enjin,” kata Stockmann sambil menunjukkan ke arah mata air di tepi parit berhampiran jambatan tinggal.
“Di sana pula ada perhentian lebuh raya,” katanya, menunjukkan kawasan dengan papan tanda dilarang masuk yang ditumbuhi lalang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) bergilir untuk cuba mengubah tapak itu menjadi destinasi tarikan pelancong.


No comments